Thursday, July 24, 2008
















LAPORAN PROGRAM LATIHAN DALAM PERKHIDMATAN
SK. DESA PUTRA. 43000 KAJANG. SELANGOR.

Tarikh : 27 – 29 JUN 2008
Tempat : Institut Latihan Islam Malaysia.

Program Tasawwur Islam – Nilai dan Amalan Profesionalisme.


Mukhadimah

Program Latihan Dalam Perkhidmatan yang dirancang pada 27 – 29 JUN 2008 berjalan dengan jayanya. Terlebih dahulu pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pejabat Pelajaran Daerah Sepang dan Institut Latihan Islam Malaysia kerana memberi ruang seluasnya bagi menjayakan program ini. Tanpa adanya kerjasama sedemikian tentu program yang dirancang tidak dapat dijalankan sepenuhnya. Begitu juga kepada peserta-peserta yang memberi komitmen sepenuhnya melancarkan lagi program ini. Peserta-peserta yang sanggup meninggalkan anak dan keluarga untuk bersama-sama berkampung di Institut Latihan Islam Malaysia demi keperluan anak bangsa. Tidak lupa juga saya selaku penganjur kursus mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Pentadbir terutama sekali Guru Besar SK. Desa Putra, Pn. Hjh. Wan Nur Fadriah bt. Wan Idris kerana memberi kepercayaan sepenuhnya kepada saya untuk menjalankan tanggung jawab yang berat ini. Tanpa adanya orang-orang di sekeliling belum tentu program yang dirancang dapat dijalankan.


Skop utama kenapa program ini dijalankan adalah untuk memenuhi keperluan Program Perkembangan Staf atau Latihan Dalam Perkhidmatan 2008 . Di atas keperluan jabatan dan keperluan sekolah maka pihak pentadbir merumuskan bahawa program ini perlu diadakan. Pihak pentadbir juga memahami bahawa untuk memantapkan pentadbiran bagi sesebuah organisasi, guru-guru perlu diberikan motivasi dan dalam masa yang sama juga modal insan perlu dipupuk. Sebagai insan yang kerdil dimuka bumi ini kita perlu memahami dan menghayati tugas kita sebagai hamba Allah dalam melaksanakan konsep ibadah yang bersepadu merangkumi tuntutan fardhu ain dan fardhu kifayah. Sebagai kalifah kita juga mempunyai peranan yang besar untuk memakmurkan bumi serta menyelesaikan permasalahan semasa. Dalam mencari tempat untuk menjayakan kursus sebegini pihak Institut Latihan Islam Malaysia merupakan satu-satunya tempat yang sesuai di mana program ini dijalankan. Alhamdulillah pihak Institut Latihan Islam Malaysia dengan hati terbuka menerima Sekolah Kebangsaan Desa Putra sebagai tetamu mereka dalam menjayakan Kursus Tasawwur Islam ini.


Laporan Pengisisan Kursus


Hari 1 : 27 JUN 2008 ( Jumaat )

Peserta-peserta seramai 51 orang guru telah mendaftar di ruang pendaftaran Institut Latihan Islam Malaysia pada pukul 4.00 – 4.45 petang. AJK. Yang bertugas bergegas awal ketempat pendaftaran memastikan kelancaran semasa pendaftaran. Fail dibekalkan oleh Pejabat Pelajaran Daerah, manakala beg dan buku nota sumbangan dari pihak Institut Latihan Islam Malaysia diberikan kepada peserta-peserta kursus. Selain daripada itu setiap peserta diberikan jadual.

Taklimat ringkas pada pukul 4.45 – 5.00 petang disampaikan oleh Tn. Hj. Mohd. Shukri b. Saad selaku Timbalan Pengarah, Pusat Pengajian Sains Dakwah. Institut. Latihan Islam Malaysia. Di dalam taklimat beliau, beberapa perkara disentuh di antaranya peranan pihak Institut Latihan Islam Malaysia dan sumbangan khidmat kemasyarakatan kepada sekolah yang berhampiran dengan ILIM. Beliau juga mengucapkan selamat datang dan selamat berkursus kepada peserta-peserta. Seterusnya ucapan Guru Besar selaku ketua kontinjen mengingatkan guru-guru supaya menunjukkan sikap yang baik dan mengikuti kursus mengikut masa yang ditetapkan. Terakhirnya Ustaz Abdul Ghafar b. Surip (ILIM) memberi taklimat mengenai peraturan-peraturan semasa berkursus.


Selepas sesi taklimat khas, pada pukul 5.00 – 6.30 petang Sesi Ice Breaking dan Pembentukan kumpulan. Program tersebut dijayakan oleh Ustaz Hasli b. Othman dan Mohd Zaid b. Hamdan. Peserta-peserta kursus dibahagikan kepada 5 kumpulan. Kumpulan tersebut diantaranya kumpulan Subhanallah, Alhamdulillah, AllahhuaAkhbar, Bismillah dan Astagfirullah . Nyanyian beramai-ramai berdasarkan lirik lagu dari petikan surah A-Syam – Demi Matahari . Peserta-peserta menyanyi mengikut iringan muzik video yang menunjukkan kebesaran Allah sambil mengayakan tangan berdasarkan bait-bait dari lagu tersebut. Terakhirnya kata-kata semangat yang perlu dilaungkan oleh peserta ialah Pagi....3X, Go...3X, Fight...3X, Win...3X, Yes...3X, Yes...3X dan Yes...3X.

Peserta makan malam pada pukul 6.30 – 7.00 petang di dewan makan. Selepas makan peserta-peserta bersiap diri dan menunaikan solat berjemaah bersama-sama.

Pada pukul 8.30 – 10.30 malam sesi ceramah pertama bermula. Ceramah yang bertajuk Petanda Maha Pencipta dan tayangan audio visual. Ceramah disampaikan oleh Dr. Azizan b. Ahmad. Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia. Penghayatan melalui video mengenai kebesaran Allah s.w.t. Sebagaimana dapat dibacakan melalui Al-Quran dalam firman Allah s.w.t :

”Dan tidaklah kehidupan dunia ini melainkan gurauan senda dan
main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah sesungguhnya kehidupan, kalau mereka mengetahui.” Surah – Al Ankabuut ( 29 ): ( 64 )

”Ya Tuhan kami, berilah kami ( kebaikan ) di dunia. ” Dan tiadalah baginya bahagian ( yang menyenangkan ) di akhirat
Surah - Al Baqarah : 200

”Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan di akhirat dan perihalalah kami dari seksa neraka. Mereka itulah orang-orang yang mendapat bahagia dari apa yang mereka usahakan; dan Allah sangat cepat perhitunganNya .”
Surah – Al Baqarah : 201 – 202.

Dalam konteks atau peranan kita di muka bumi ini apakah kita tahu tentang hakikat sebenar kita. Bagaimana pula peranan kita sebagai seorang pendidik. Adakah kita menjurus pengajaran kita kepada kebendaan duniawi semata-mata. Keseluruhannya, peranan pendidik adalah penting untuk memakmurkan ummah atau masyarakat yang sihat.

Dari mana kita bermula disitulah kita kembali mengadap-Nya.


Hari Ke 2 : 28 Jun 2008 ( Sabtu )


Pukul 5.45 – 7.15 pagi, semua peserta sembahyang subuh berjemaah. Selepas sembahyang, peserta mengikuti senaman pagi. Senaman tersebut diadakan di kawasan parking kereta bersebelahan dewan makan. Bersantai sambil mengikut arahan Cikgu Rosdi Muhammad guru Pendidikan Jasmani SK. Desa Putra yang dilantik khas sebagai instructer. Begitu meriah disebabkan bukannya mudah untuk mengumpul guru-guru terutama selepas solat subuh bersama-sama kemudian bersama-sama mengikuti senaman pagi. Baik dari kesihatannya sambil menghirup udara pagi di Institut Latihan Islam Malaysia.

Pukul 8.30 – 10.30 pagi. Ceramah ke dua disampaikan oleh Tn. Hj. Hashim Salleh – Ketua Penolong Pengarah Pusat Pengurusan dan Undang-Undang Islam , ILIM. Sebagai seorang penyelidik dan pendakwah beliau banyak pengalaman. Memberi ceramah yang berfokuskan Tasawwur Islam. Ianya penting kepada pendidik-pendidik dalam membentuk keperibadian pelajar.
Antara kupasan yang disampaikan oleh beliau ialah mengenai :
1. Kefahaman tentang Islam
2. Keperluan dalam hidup supaya menjadi guru yang cemerlang.
3. Fazakir iaitu selalu beringat.
4. Guru sebagai agen perubahan.

Pukul 10.30 – 11.00 pagi pagi peserta-peserta berhenti rehat dan minum pagi

Seterusnya aktiviti disambung semula pada pukul 11.00 – 1.00 tengahari. Ceramah 3 – Isu Agama dan Aqidah Semasa disampaikan oleh Tn. Hj. Abdul Ghafar b. Surip Penolong Pengarah , Pusat Pengajian Dakwah, Institut Latihan Islam Malaysia. Ceramah yang berkaitan isu-isu negara dan antarabangsa. Sentuhan mengenai perkembangan generasi ( pelajar-pelajar ) yang akan dibentuk berdasarkan keseimbangan pembangunan jasmani, emosi , rohani dan intelek berfalsafahkan keislaman. Sebagai guru-guru Islam ianya menjadi satu tugas dan tanggungjawab untuk merealisasikannya.


Pukul 1.00 – 2.30 Peserta-peserta makan tengahari dan menunaikan solat Zuhur.


Aktiviti disambung pada pukul 2.30 – 4.30 petang. Ustaz Hasli Othman - Latihan Dalam Kumpulan. Peserta peserta berada di dalam kumpulan yang dibentuk dan menjalankan aktiviti-aktiviti berbentuk santai. Aktiviti santai diberikan disebabkan dari pagi peserta-peserta diberikan imput yang besar dengan isu-isu semasanya maka disebelah petangnya peserta-peserta hanya diberikan permainan kecil bersama kumpulan dalam bentuk indoor dan out-door.. Antaranya ialah
Mencari bulan lahir yang sama
Mencari peristiwa-peristiwa dalam bulan tersebut.
Permainan melontar gelung.
Permainan dadu - Nombor ganjil kedepan dan nombor genab ke belakang.

Pukul 10.30 – 11.00 malam sesi terakhir untuk Kursus Tasawwur Islam. Ceramah yang bertajuk ”Wasiat Iman” disampaikan oleh Us. Nor Zaidan Hamad. Ianya bukan merupakan ceramah sebaliknya menilai diri seikhlasnya. Perjalanan hidup yang sementara ini perlu sentiasa dimuhasabah. Kita selalu mengharapkan keredaanNya. Bagaimana pula tanpa dirancang dan dijangka kita kembali kepadaNya. Apakah wasiat yang telah kita buat untuk suami, isteri, anak-anak, adik beradik, dan kawan kita. Tuliskan wasiat dan bacakan di hadapan replika mayat kita. Penghayatan yang mendalam betul-betul menusuk jiwa terutama peserta-peserta yang mengingatkan ibu dan anak-anak. Apakah wasiat terakhir mereka kepada insan-insan yang tersayang. Cukup berkesan....... .


Hari Ke 3 : 29 JUN 2008 ( Ahad )

Seawal pagi – 4.30 – 7.30 pagi, peserta-peserta kursus bangun dan menunaikan solat Qiamullai. Imam bertugas ialah Us. Abdul Malip b. Zakaria.

Pukul 8.30 – 10.30 pagi. Sesi terakhir untuk hari terakhir kursus. Sesi kumpulan - ”Azam dan Janji” disampaikan oleh Us. Hasli Othman. Peserta dibahagikan mengikut kumpulan iaitu dikehendaki mencari 5 jenis daun, 5 jenis akar kayu, 5 jenis batang, 5 jenis pokok dan 5 jenis bunga. Setelah mendapat bahan-bahan yang dicari peserta-peserta diminta menampal di atas kertas, menulis kegunaan dan keistimewaan dari bahan tersebut. Selain daripada itu peserta-peserta juga dikehendaki membuat analisis dan menyatakan hujah-hujah masing-masing mengikut kumpulan mengenai peristiwa dan tajuk-tajuk yang diberi. Seterusnya penceramah membuat rumusan keseluruhan dari program tersebut.

10.30 – 11.00 pagi Minum pagi dan sesi bergambar.

Majlis Penutupan Kursus Tasawwur Islam untuk guru-guru SK. Desa Putra diadakan pada pukul 11.00 – 12.30 tengahari . Majlis diserikan dengan ucapan dari Pn. Hjh. Wan Nur Fadriah bt. Wan Idris Guru Besar SK. Desa Putra, Tn. A.Rahman b. Haji Ngit Pegawai Pelajaran Daerah Sepang dan Ucapan Penutup secara rasminya oleh Tn. Hj. Mohd. Shukri b. Saad, Timbalan Pengarah Pusat Pengajian Sains Dakwah bagi mewakili Y.Bhg. Tn. Hj. Paimuzi b. Yahya Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia.
Seterusnya majlis bacaan doa, makan tengahari dan bersurai pada pukul 2.00 petang


Penghargaan dan Penutup

Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia dan Guru Besar SK. Desa Putra mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada para penceramah dan semua pihak yang menyumbangkan tenaga dan kepakaran untuk menjayakan kursus ini. Begitu juga kepada Tn. Abd. Rahman b. Haji Ngit – Pegawai Pelajaran Daerah Sepang kerana memberi perangsang dan galakkan kepada SK. Desa Putra untuk kepentingan anak bangsa dan negara yang tercinta. Akhirnya diharapkan pengetahuan yang diperolehi melalui kursus ini dapat dimanfaatkan dan diamalkan untuk kebaikan bersama.

Semoga diberkati Allah jua.

Afindi B. Mohd. Salleh
......................................................
Setiausaha LADAP / Guru B&K.
SK. Desa Putra. 43000 Kajang
Selangor.


Maklumat lanjut lawati : http://skdp.blogspot.com/

Tuesday, July 15, 2008

Latar Belakang



Pembangunan ilmu insan merupakan agenda utama dalam pembangunan negara. Justeru itu, peranan guru kaunseling menjadi tonggak utama dalam usaha merealisasikan hasrat tersebut.

Memandangkan kelompok guru kaunseling mendapat kemahiran khusus dalam membimbing para murid adalah perlu mereka merancang dan menyusun program dengan lebih teratur dan teliti agar perkhidmatan yang diberikan lebih berkesan. Bidang tugas dalam perkhidmatan bimbingan dan kaunseling adalah merangkumi perkembangan akademik, kerjaya, psikososial dan kesejahteraan mental, keibubapaan, pendidikan pencegahan dadah serta pembangunan diri murid.

Fail meja merupakan satu kerangka kerja yang sistematik bagi setiap guru kaunseling menyusun dan melaksanakan kerja-kerja hariannya dalam bidang perkhidmatan mereka. Fail meja ini akan menjadi garis panduan kepada guru kaunseling bagi memudahkan pelaksanaan pelbagai program dan aktiviti yang telah dirancangkan.

Usaha ini adalah untuk meningkatkan mutu profesionalisme, kredibiliti dan akauntabiliti perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah. Adalah diharapkan fail meja ini akan dapat memberi panduan dalam membantu guru kaunseling menjalankan tugas-tugas seharian.
VISI PERKHIDMATAN BIMBINGAN DAN KAUNSELING

Mewujudkan iklim pendidikan yang kondusif, teraputik dan efektif dari aspek fizikal perhubungan dan pengurusan berteraskan konsep perkhidmatan bimbingan dan kaunseling berkualiti secara menyeluruh dan berkesan demi kecemerlangan murid dan sekolah.
MISI PERKHIDMATAN BIMBINGAN DAN KAUNSELING


· Menguruskan program dan aktiviti kaunseling dengan cekap dan berkesan.

· Melahirkan murid yang mempunyai kepintaran emosi (EQ) yang tinggi dan
berakhlak mulia.

· Membimbing murid ke arah mencapai prestasi yang tinggi dalam akademik.

· Mewujudkan suasana pembelajaran yang memberangsangkan melalui program
bimbingan dan kaunseling.

· Memberikan pendidikan kerjaya bersepadu kepada murid.

· Memupuk semangat patriotik dan kualiti kepimpinan di kalangan murid.
Piagam Pelanggan Unit Bimbingan Dan Kaunseling



1. Menyediakan bilik kaunseling yang kondusif dan teraputik.

2. Menerima klien tanpa syarat dan prejudis.

3. Menjalankan sesi kaunseling dengan penuh etika dan profesionalisme.

4. Berusaha melindungi identiti klien berdasarkan Kod Etika Kerahsiaan tertakluk kepada persetujuan klien.

5. Menjalankan sesi kaunseling dalam tempoh masa 40 hingga 60 minit bagi setiap sesi individu atau kelompok.

6. Menepati temujanji bersama klien dengan memberi khidmat yang sesuai dalam tempoh 48 jam.

7. Memberi keutamaan dengan mengambil tindakan segera bagi klien yang memerlukan kaunseling krisis.

8. Berusaha merujuk klien kepada pihak tertentu dengan persetujuan klien atas dasar limitasi keupayaan Guru Kaunseling.

9. Memberi maklumat yang tepat dan terkini kepada klien dengan penuh jujur, ikhlas dan beretika.

10. Membangunkan potensi individu sebagai model insan yang mampu menyumbang kepada negara.
Objektif Unit Bimbingan Dan Kaunseling


2.3.1 Meningkatkan kecemerlangan akademik murid dengan mengadakan:

2.3.1.1 Pemilihan mata pelajaran secara berkesan.
2.3.1.2 Kemahiran belajar.

2.3.2 Memberi pendedahan kerjaya kepada murid dengan cara melaksanakan :

2.3.2.1 Mengumpul dan menyebarluaskan maklumat pelajaran dan peluang-peluang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi awam, swasta dan institusi latihan kemahiran.
2.3.2.2 Ujian psikometrik.

2.3.3 Berusaha mempertingkatkan sahsiah murid melalui:

2.3.3.1 Program psikososial.
2.3.3.2 Program kesejahteraan mental.

2.3.4 Meningkatkan kefahaman mengenai keibubapaan dan perkembangan
kesejahteraan individu melalui:

2.3.4.1 Konsultasi keibubapaan.
2.3.4.2 Kaunseling keluarga.

2.3.5 Mencapai Sekolah Bebas Dadah menggunakan pendekatan pendidikan pencegahan dadah melalui:-

2.3.5.1 Pendekatan Keluarga Cemerlang
2.3.5.2 Pembentukan Jati Diri Remaja
2.3.5.3 Sekolah Bebas Dadah

2.3.6 Membangunkan daya kepimpinan dan pembangunan diri murid melalui:-

2.3.6.1 Mengenal Diri Dan Potensi Diri
2.3.6.2 Kemahiran Kepimpinan
2.3.6.3 Kehidupan Bermasyarakat
2.3.6.4 Penyelesaian Masalah
Senarai Tugas Guru Kaunseling Sepenuh Masa


4.1.1 Menyediakan rancangan tahunan program dan aktiviti perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling sekolah.

4.1.2 Mengenalpasti keperluan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling sekolah melalui kajian keperluan, soal selidik, temubual dan perbincangan dengan murid, guru, pentadbir, kakitangan sekolah, ibu bapa dan bekas murid.

4.1.3 Merancang, mengawalselia dan mengemaskini rekod dan inventori murid.

4.1.4 Mengumpul, menyelia, menyebar maklumat bimbingan dan kaunseling kepada semua murid melalui sebarang media yang sesuai.

4.1.5 Mengelola dan melaksanakan aktiviti bimbingan dan kaunseling kelompok dan tunjuk ajar (instructional) yang meransang perkembangan murid secara optimum.

4.1.6 Merancang, melaksana, mengawalselia perkhidmatan bimbingan dan kaunseling individu secara profesional dan beretika.

4.1.7. Merancang, melaksana, mengawalselia aktiviti kemahiran belajar untuk semua murid.

4.1.8 Merancang, melaksana, mengawalselia serta menilai program dan aktiviti pemberian maklumat sesuai dengan penawaran pakej pensijilan terbuka dan keperluan IPT.

4.1.9 Menjadi ahli jawatakuasa program pencegahan dadah, inhalan, rokok, alkohol dan HIV/AIDS.

4.1.10 Merancang, melaksana, mengawalselia serta menilai program dan aktiviti untuk menyedia dan mendedahkan murid kepada peluang
melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi dalam dan luar
negara.

4.1.11 Merancang, melaksana, mengawalselia dan menilai program dan aktiviti perkhidmatan konsultasi dan rujukan berhubung bimbingan dan kaunseling, kerjaya dan pendidikan pencegahan dadah.

4.1.12 Merancang, melaksana, mengawalselia dan menilai program dan aktiviti konferens dengan ibu bapa , guru ,kakitangan bukan guru, agensi kerajaan dan bukan kerajaan yang terlibat dalam proses pendidikan dan perkembangan murid.
4.1.13 Membuat penilaian aktiviti modul, model, instrumen dan profesionalisme perkhidmatan bimbingan dan kaunseling sekolah .

4.1.14 Merancang, menyelaras dan menilai sumber dan bahan resos perkhidmatan bimbingan dan kaunseling.

4.1.15 Menjadi urusetia kepada Jawatankuasa Penyelaras Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling.

4.1.16 Menjadi penggerak utama dalam program latihan dalaman bagi menyebar kefahaman dan peningkatan profesionalisme perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah.

4.1.17 Memberi khidmat kaunseling krisis kepada murid, guru, kakitangan dan ibu bapa yang memerlukannya.

4.1.18 Menjadi personel perhubungan / seranta sekolah dengan agensi-agensi luar yang berkaitan .

4.1.19 Menjadi ahli jawatankuasa ex-oficio dalam jawatankuasa kurikulum sekolah dan PIBG.

4.1.20 Menjadi ahli jawatankuasa dalam Majlis Perancangan Sekolah, Disiplin Sekolah dan Jawatankuasa Lembaga / Badan Pengawas.

4.1.21 Menjadi penyelaras dalam program mentor-mentee sekolah.

4.1.22 Menjadi penyelaras dalam program-program perkembangan murid kolokium, motivas, kem jaya diri, kepimpinan dan kursus ketatanegaraan.

4.1.23 Menjadi urusetia kepada program Sekolah Selamat, Dasar Pendidikan Wajib, Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris dan Dasar Bahasa Tambahan dan Jawatankuasa penempatan (Kemasukan ) murid di sekolah.

4.1.24 Menjadi penyelaras program-program yang dianjurkan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling Jabatan Pendidikan Negeri.
4.1.25 Melaksanakan tugas-tugas yang diarahkan oleh ketua jabatan dari semasa ke semasa.